IPOH: Polis sedang memburu beberapa orang suspek yang terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan dan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah mengesan beberapa video yang tular di media sosial serta mendapat perhatian umum.

"Dalam isu ini, PDRM Ipoh telah terima dua laporan polis mengenai dua kejadian berasingan tetapi berkaitan.

"Kekecohan yang berlaku di HRPB hari ini lebih kurang jam 12.20 tengah malam (Sabtu) melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang ingin menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.

"Kemudian berlaku perselisihan faham dengan pengawal keselamatan hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis telah mengambil tindakan segera di tempat kejadian dan mengawal keadaan.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh).

Dalam pada itu katanya, bagi kes kedua yang berlaku sebelum kejadian di HRPB merupakan kes mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki warga tempatan, menggunakan senjata tajam.

"Dalam kejadian itu, tiga individu telah dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di HRPB.

"Punca kejadian disyaki perselisihan faham di antara dua keluarga mengenai isu percintaan, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah)," katanya.

Justeru pihak polis sedang memburu suspek-suspek yang terlibat dalam kedua-dua kes tersebut.

Sehubungan itu katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan kekeceohan di pekarangan HRPB sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.